Oleh Mohd Shahrizal Nasir
KETIKA ini, jutaan manusia membanjiri kota suci Makkah bagi
menunaikan ibadah haji. Mereka mengunjungi rumah Allah semata-mata
untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya.
Walaupun proses menunaikan ibadah haji memerlukan wang yang
banyak, apa yang dicari melebihi nilai dunia. Begitulah pengorbanan
wang ringgit yang perlu dilaburkan dengan niat ikhlas mendapat keredaan
Allah.
Sesungguhnya rezeki yang dikurniakan Allah, sebahagiannya
mesti dilaburkan dalam usaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang
Muslim.
Kewajipan menunaikan ibadah haji tertanggung di atas bahu
setiap individu Muslim yang berkemampuan. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah” (Surah
al-Baqarah, ayat 196).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ibadah haji itu wajib ditunaikan bagi mengharapkan keredaan Allah.Sesungguhnya, dalam melaksanakan perintah Allah, setiap
halangan yang datang perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan
pertolongan-Nya.
Beruntunglah bagi mereka yang berjaya mendepani setiap halangan dalam menunaikan ibadah haji dengan cara yang terbaik.Perkara berkenaan dinyatakan Allah ketika menjelaskan
perihal tetamu-Nya yang datang dari setiap pelosok dunia bagi menunaikan
ibadah haji.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia
untuk menunaikan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah
Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis
unta yang kurus, mereka datang dari berbagai jalan (dan ceruk rantau)
yang jauh” (Surah al-Hajj, ayat 27).
Setiap ibadah yang dilakukan di sepanjang musim haji
mempunyai erti dan pengajaran yang tersendiri.
Contohnya, pemakaian
ihram dan tawaf memberi gambaran bahawa setiap manusia itu semuanya sama
taraf di sisi Allah.Hanya takwa yang dicerminkan melalui mutu ibadah masing-masing yang akan memberi perbezaan antara satu dengan lain.
Larangan dalam ihram juga sarat dengan hikmah yang menuntut kesabaran dan ketelitian dalam melaksanakan ibadah.Hal berkenaan memberi pengertian bahawa setiap ibadah yang
diwajibkan ke atas setiap Muslim, harus ditunaikan dengan penuh teliti
dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Wukuf di Arafah pula memberi gambaran suasana Mahsyar yang bakal dilalui oleh setiap manusia.Suasana ini bukan saja perlu dirasai oleh jemaah haji,
namun bagi mereka yang mampu menyaksikan suasana ini dari tanah air
masing-masing, rasa keinsafan juga seharusnya dirasai.
Pada saat setiap manusia berkumpul di satu kawasan yang
luas terbentang, masing-masing menadah tangan memohon doa ke hadrat
Ilahi.
Secara jelas, manusia itu hanya insan kerdil yang sentiasa
mengharapkan pertolongan Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian
apabila kamu bertolak dari Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah
nama Allah dengan doa talbiah dan tasbih) di tempat Mash’aril Haram (di
Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebut-Nya sebagaimana
Dia memberikan petunjuk hidayah kepada kamu” (Surah al-Baqarah, ayat
198).
Ibadah sa’ie antara bukit Safa dan Marwah pula membawa umat
Islam menghayati pengorbanan seorang wanita yang akur dengan perintah
Allah.
Sifat reda dan tawakal yang ditunjukkan Hajar, isteri Nabi
Ibrahim mengajar manusia agar sentiasa meletakkan perintah Allah
melebihi segalanya.
Maka, dengan kesabaran dan rasa berserah diri pada Allah,
maka dibukakan jalan keluar untuknya dalam mengharungi kehidupan tanpa
suami tercinta.Inilah antara bukti kekuasaan Allah yang diperlihatkan di
sebalik ibadah haji. Sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa memayungi
hidup hamba yang taat atas setiap perintah-Nya.
Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang)
agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau
mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa’ie (berjalan
dengan berulang-alik) di antara keduanya” (Surah al-Baqarah, ayat 158).
Berdasarkan huraian ringkas berkaitan ibadah haji itu, sewajarnya setiap individu Muslim berazam untuk melaksanakan ibadah haji.Bagi golongan muda khususnya, niat harus diletakkan sedari
awal agar hasrat murni itu dipermudahkan Allah. Niat memainkan peranan
yang penting bagi melaksanakan amal ibadah dalam Islam.
Niat bukan khayalan kosong, tetapi ia memainkan peranan
yang besar dalam menjayakan tuntutan ibadah. Tanpa niat yang betul, amal
ibadah tidak akan sempurna.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesungguhnya setiap
amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap
orang apa yang dia niatkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, niat untuk menunaikan ibadah haji perlu ditanam
mulai sekarang. Niat yang murni bukan hanya sekadar niat, namun ia
disertai dengan usaha dan gerak kerja ke arah hasrat yang hendak
dicapai.
Menabunglah dari sekarang dan meletakkan sasaran serta mempersiapkan diri agar usaha murni kita dipermudahkan Allah.
Ambillah pengalaman jemaah haji sekembalinya mereka ke
tanah air nanti supaya ia dapat memotivasikan diri untuk melakukan
perkara yang sama.
Sumber : SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan