George Davis |
London: Selepas hanya beberapa bulan terselamat dalam operasi menyelamat yang dramatik, remaja tergemuk Britain sudah menambah berat badan sebanyak 25 kilogram.
Georgia Davis sekali lagi mencecah berat yang sangat membimbangkan iaitu 292 kilogram ketika berusaha untuk mengurangkan berat badannya.
Tetapi sejak dia keluar hospital, dia masih berhempas-pulas untuk mengekalkan diet pemakanannya.
Peningkatan berat badan Georgia dan jangkitan pada kakinya menjadikan dia banduan di kerusi sendiri. Berikutan sukar untuk bergerak, dia terpaksa tidur di kerusi.
Bercakap dari kediaman flet dua biliknya, Georgia memberitahu The Sun: “Saya cuba makan secara sihat tetapi tidak dapat memasak dalam situasi begini.
“Keadaan berjalan dengan baik untuk beberapa minggu tetapi selepas itu keadaan bertukar menjadi buruk.
“Minggu lalu adalah yang terburuk dan saya makan terlalu banyak biskut.
“Saya makan terlalu banyak. Saya tidak boleh membuka bungkusan biskut dan makan sekeping saja. Saya perlu makan semuanya.
“Malam ini saya akan makan KFC kerana saya rasa sangat sakit untuk berdiri dan memasak di dapur,” katanya.
Georgia berpindah ke flet di Aberdare, selatan Wales itu bersama rakannya, Sian Thomas November lalu selepas keluar dari Hospital Putera Charles di Merthyr Tydfil.
Dia dimasukkan ke hospital terbabit Jun tahun lalu selepas operasi yang memakan belanja 100,000 pound (RM500,000) untuk membawanya keluar dari kediaman keluarganya.
Sebahagian rumah itu terpaksa diruntuhkan untuk membolehkan dia diselamatkan.
Berat badan Georgia berkurangan 88 kilogram ketika menjalani rawatan selama sembilan bulan di ‘kem gemuk di Amerika Syarikat.
Di hospital, perkiraan kalori hariannya dikurangkan daripada 13,000 kepada 1,500 dan beratnya turun kepada 266 kilogram.
Pada awalnya, dengan bantuan Sian, Georgia mengekalkan pelan diet pemakanannya di kediaman baru mereka.
Tetapi rutin itu tergelincir dan jangkitan selulitis menyebabkan kakinya bengkak dan sakit.
Dia kini menghabiskan masa berjam-jam di kerusi, menonton televisyen dan membaca novel.
Georgia yang bakal mencapai usia 20 tahun dua minggu lagi berkata: “Saya cuba untuk tidak bersedih. Memang ketara ini bukan berat badan ideal dan saya tidak mahu jadi begini.
“Susah untuk mengekalkan rutin apabila saya sukar bergerak. Sian banyak membantu tetapi dia perlu bekerja dan tidak dapat menolong sepanjang masa.
“Tidur memang sukar kerana saya terpaksa menjadikan kerusi ini sebagai katil dan saya terjaga kerana kesakitan setiap dua jam.
“Tetapi saya masih ada di tempat yang lebih baik daripada di hospital. Sekurang-kurangnya saya sentiasa mengukur berat badan saya. Sebelum ini, saya selalu putus asa.
“Jururawat yang merawat saya menyelamatkan nyawa saya. Demi mereka, saya perlu terus mencuba,” katanya. - The Sun
Sumber : SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan